Klik Paparan Blog Saya
Thursday, June 20, 2013
Zikir Menari
SOALAN : Selesai satu ceramah di masjid kami dalam isu zikrullah, ada seorang bertanya penceramah. Bolehkah
majlis zikrullah dilakukan dalam keadaan berdiri dan menari-nari macam berkhayal-khayalan seperti yang
pernah dilakukan oleh sesetengah golongan tarekat sufi. Penceramah tersebut secara spontan menjawab : “Rasa
saya itu adalah haram. Mana boleh zikrullah yang begitu murni dicampurkan dengan tarian. Tarian itu haram.”
Kami jadi keliru. Minta pandangan Dato’. Terima kasih. ; Jemaah Ragu, Sepang.
- – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – – -
JAWAPAN OLEH DATO’ DR HARON DIN :
Jawapan itu bergantung kepadaa pengetahuan yang ada pada penjawabnya.Kadang-kadang ada yang mengikut ‘rasa’
, seperti soalan anda di atas, penjawab itu berkata rasanya tidak boleh. Mungkin juga ada orang lain yang
akan menjawab rasanya boleh.Jawapan bagi persoalan agama bukan boleh dimain dengan ‘rasa’. Ia memerlukan
sandaran hukum yang perlu dirujuk kepada sumber yang sahih.
Berkenaan dengan zikrullah, Allah SWT berfirman (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati
Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan
tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan
benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.’” (Surah
‘Ali-’Imran ayat 191).
Ayat ini memberi isyarat bahawa zikrullah boleh dilakukan dalam pelbagai keadaan dan gaya.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha. pernah melaporkan bahawa Rasulullah SAW berzikrullah (berzikir kepada Allah)
dalam semua keadaan. Sedang berjalan, menaiki kenderaan, di atas kenderaan, berbaring, duduk dan bermacam
lagi pernah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Dalam satu riwayat pernah diceritakan bahawa Jaafar bin Abi Talib r.a (sepupu Rasulullah), pernah
menari-nari melenggok lentuk di hadapan Rasullullah SAW sebaik sahaja beliau mendengar Rasulullah SAW
menyebut kepada beliau, “Allah menjadikan rupa parasmu seiras dengan Allah menciptakan daku.”
Mendengar kata-kata yang seindah dan semurni itu, terus dita’birkan dengan menari-nari di hadapan
Rasullullah SAW. Tingkah laku beliau itu atau ‘body language’ beliau tidak ditegah atau ditegur oleh
Rasulullah SAW.
Di sinilah dikatakan atau dijadikan asal usul sandaran bahawa menari-nari sambil berzikir kepada Allah yang
dilakukan oleh ahli tarikat atau golongan sufiyah, ada sandarannya.
Sahlah berlaku tarian di majlis zikir yang dihadiri oleh ulama besar yang muktabar. Antara mereka ialah
al-Imam Izzuddin Abdus Salam dan tidak diengkarinya.
Ditanya Shaikhul Islam Sirajuddin al-Balqini tentang persoalan tari-menari dalam majlis zikir, lalu dijawab
beliau dengan mengiyakannya, yakni boleh dilakukan.
Ditanya al-A’llamah Burhanuddin al-Abnasi, perkara yang sama, maka beliau menjawab dengan membolehkannya.
Ditanya ulama besar dalam mazhab Hanafi dan Maliki, semuanya menjawab, “Tidak mengapa dan boleh dilakukan.”
Semua jawapan ini dibuat dengan bersandarkan kepada ayat dalam Surah ‘Ali-’Imran di atas berserta hadis yang
diriwayatkan oleh Jaafar bin Abi Talib r.a.
Adapun tarian yang dilarang adalah tarian yang bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram, lebih-lebih
lagi ia diadakan dalam majlis yang kemaksiatannya ketara seperti berpakaian tidak menutup aurat, diiringi
dengan muzik dan suasana yang mengundang kepada syahwat dan lain-lain.
Itulah yang disebut haram. Haram bukan soal tarian, tetapi dilihat dari aspek persembahan, suasana dan
dilihat dengan jelas kemaksiatan.
Adapun tarian dalam zikrullah, adalah tarian khusus yang lahir daripada rasa kesyahduan kepada Allah, dengan
kelazatan munajat dan bertaladdud (berseronok kerana zikrullah).
Perasaan seronok dan lazat itu yang diketahui oleh orang yang mengetahuinya, merupakan anugerah Allah kepada
mereka.
Mereka hendak menunjukkan bahasa badan (body language) mereka dengan menari-nari tanda keseronokan, tetapi
dibuat kerana Allah SWT.
Inilah yang disebut di dalam Al-Quran (mafhumnya): “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram
hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah
ar-Ra’d, ayat 28).
Ketenangan adalah suatu kenikmatan. Hendak menghargai kenikmatan itu adalah sesuatu yang boleh dita’birkan
dengan isyarat, dengan kata-kata, dengan bahasa badan yang dijelmakan dalam bentuk tarian untuk menyatakan
kesyukuran dan kenikmatan yang mereka perolehi hasil anugerah Allah.
Atas itulah pada pendapat saya bahawa tarian dalam majlis-majlis sufi itu adalah harus.
Untuk menyatakan haram atau tidak boleh memang mudah, tetapi harus disandarkan kepada dalil. Jika tidak ada
dalil atau hujah, berbaliklah kepada hukum fekah bahawa, “Asal semua perkara adalah harus sehingga ada
dalil yang membuktikannya haram.”
Oleh itu berzikrullah yang difahami dari ayat al-Quran di atas, hadis Rasulullah SAW dan pandangan ulama
muktabar, maka saya menyatakan ia harus dan bukanlah haram.
[Oleh: Prof Datuk Dr Haron Din - Artikel ni diambil daripada Harakah Bil.1463 | 19-22 Syaaban 1430 | 10-13
Ogos 2009 | Sisipan Fikrah di Kolum “Bersama Dato’ dr Harun Din”]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment